Pengenalan

KALAM PENGETUA

DR WAN MOHD ZUHAIRI B WAN  ABDULLAH
Tuan Haji Ab. Aziz bin Ahmad

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih diberi kekuatan dan semangat yang tinggi dalam menghadapi cabaran globalisasi bagi melahirkan pelajar yang berketrampilan dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum. Saya juga mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa yang telah menghasilkan laman blog ini. Harapan saya pada tahun ini agar semua warga sekolah dapat meningkatkan budaya kerja cemerlang terutama dalam pengurusan masa, kesegeraan bertindak, cekap dan berfikiran positif. Hal ini selaras pelbagai program pembaharuan seperti KBAT, iThink, Frog VLE, Pembelajaran abad 21, TIMSS dan PISA yang sangat menuntut kecemerlangan budaya kerja.

Semua warga sekolah juga diharapkan dapat menghasilkan inovasi dan amalan-amalan terbaik dalam tugas masingmasing sama ada secara individu mahu pun berpasukan. Dengan adanya inovasi baru, kita akan dapat membuat lebih banyak perubahan dan penambahbaikan yang berterusan dari semasa ke semasa. Maka, bagi merealisasikan impian yang ingin digapai, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) perlu dihayati dan dilaksanakan dengan jayanya. Pelan ini melakar visi sistem pendidikan dan murid yang memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Pelan ini berhasrat mencapai 5 keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan. Justeru, PPPM juga telah menyusun transformasi yang dilaksanakan dalam tiga gelombang. Gelombang pertama memberi sokongan kepada para pendidik, gelombang kedua mempercepat peningkatan kemajuan sistem dan gelombang ketiga ialah beranjak ke arah kecemerlangan dan peningkatan keluwesan operasi. Oleh itu, sebagai pendidik, kita hendaklah menerima perubahan ini dengan minda yang terbuka dan melaksanakannya bagi mencapai visi yang dihasratkan.


Saya juga berharap supaya kita dapat merealisasikan kepimpinan instructional yang berkesan di sekolah ini dengan melaksanakan perancangan strategik secara menyeluruh, pengurusan kurikulum yang sempurna, menjalankan sistem penilaian dan pentaksiran yang konstruktif serta membudayakan perkembangan profesionalisme secara berterusan. Melalui program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun, diharapkan gelaran “Sekolah Berprestasi Tinggi” pada masa akan datang menjadi kenyataan. Kepada guruguru yang baharu di SMK Agama Lati, selamat bertugas dan jadilah warga sekolah beridentiti dan mempunyai jati diri yang tinggi. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat hendaklah dijadikan amalan dalam merealisasikan budaya kerja cemerlang. Semoga segala tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dirahmati Allah S.W.T.





Peletakan batu asas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Najib Bin Haji Tun Abdul Razak iaitu Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1998 dan pembinaannya bermula pada tahun 1999. Dalam tempoh 3 tahun pembinaannya maka tanggal 13 Januari 2002 bangunan ini dengan rasminya beroperasi dengan menerima 210 orang pelajar tingkatan satu.
Seterusnya pada bulan Februari pada tahun yang sama juga sekolah ini seterusnya telah menerima 69 orang pelajar tingkatan 4. Dengan kapasiti pelajar berjumlah 279 orang pelajar, sebanyak 7 buah kelas telah menempatkan pelajar tingkatan satu dan 2 buah kelas telah menempatkan pelajar tingkatan empat.
Pada peringkat awal operasinya, sekolah ini telah diterajui oleh Tuan Haji Ghazali Bin Abd Rahman yang menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan dibantu oleh Tuan Haji Jusoh Bin Omar sebagai Penolong Kanan HEM. Seterusnya tanggal 16 Mac 2002, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati telah menyambut kedatangan Pengetuanya yang sulung iaitu Tuan Haji Abd Rahman Bin Mahmood dan dengan ini bertambah mantaplah kepemimpinan yang ada di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati.
Dari setahun ke setahun bermula dari tahun 2002 dengan serba kekurangan, kini kelengkapan logistiknya telah bertambah dan secara keseluruhannya. Kini pada tahun 2005 keseluruhan pengurusan, guru-guru dan staf sokongan sekolah ini semakin bertambah dan operasinya berjalan semakin lancar sesuai dengan perubahan masa yang berlaku.

Para pelajar tingkatan 5 sekolah ini buat kali pertamanya telah menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tahun 2003 dan hasilnya pada tahun 2004 kejayaan yang sangat baik telah dicapai oleh pelajar- pelajar ini. Keputusannya 1 pelajar memperoleh 11A, 2 orang pelajar memperoleh 10A dan masing- masing seorang memperoleh 9A dan 8A, dengan gred purata keseluruhannya ialah 3.48. Seterusnya pada tahun 2005 kejayaan dalam SPM terus dijulang iaitu pelajar sekolah ini memperoleh gred purata keseluruhannya ialah 3.39 dan dijangkakan kejayaan dalam SPM akan diteruskan dari setahun ke setahun.
Begitu juga dalam pencapaian dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, buat pertama kalinya pelajar sekolah ini menduduki peperiksaan pada tahun 2004 dan pelajar sekolah ini mencapai keputusan yang sangat baik iaitu seramai 15 orang pelajar memperoleh 9A dan 20 orang pelajar memperoleh 8A dengan gred purata keseluruhannya ialah 1.55. Seterusnya pada tahun 2005 kejayaan ini terus dicapai dalam peperiksaan PMR iaitu seramai 22 orang pelajar telah memperoleh 9A dan 34 orang pelajar memperoleh 8A dengan gred purata keseluruhanya ialah 1.39.

Sementara itu dalam bidang kokurikulum yang pernah dicapai oleh warga sekolah ini ialah pada tahun 2003 seorang pelajar sekolah ini telah mewakili negeri Kelantan ke Perkhemahan Kadet Bomba peringkat kebangsaan dan beberapa orang peserta kita telah menjadi Naib Johan keseluruhan dalam pertandingan teokwando (ITF) negeri Kelantan. Kejayaan ini terus dicapai oleh pelajar- pelajar sekolah ini dalam tahun 2004, antaranya ialah Juara Koagama Jabatan Pendidikan Kelantan, Naib Johan Pertandingan Nasyid negeri Kelantan dalam Festival Nasyid dan kemuncaknya dalam tahun ini seorang peserta perempuan sekolah ini memenangi Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan.
Dalam tahun 2005 pula, pelajar- pelajar sekolah ini turut menempa kejayaan dalam beberapa bidang yang disertai antaranya, Johan Cawangan Rantau Panjang dan Naib Johan Pertandingan Bola Jaring peringkat PPD Pasir Mas / Tumpat, Naib Johan Nasyid Kebangsaan (SLAD), Naib Johan Kebangsaan dalam Pertandingan Syarahan Agama kategori lelaki dan perempuan Peringkat Kebangsaan. Sekolah ini juga mensasarkan pada tahun 2006 pelajar- pelajar sekolah ini akan terus memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. Kejayaan terkini dan masih menjadi kebanggaan warga SMK(A) Lati ialah apabila menduduki tempat Ketiga Kebangsaan dalam pertandingan 3K ( Keselamatan, Keceriaan dan Kesihatan) pada tahun 2005.

Dari segi penambahan pelajarnya, bermula dengan 279 orang pelajar pada tahun 2002 jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa iaitu sejmlah 420 orang pelajar pada tahun 2003, 2004 sejumlah 519 orang pelajar dan pada tahun 2006 dianggarkan jumlah pelajar di sekolah ini ialah 671 orang yang merangkumi pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan 5. Ternyatalah, dengan kewujudan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati di daerah Pasir Mas sememangnya sangat dinanti- nantikan oleh masyarakat sekitar kerana secara tidak langsung kesan pembangunan di pekan Lati ini seumpama “cendawan tumbuh selepas hujan”.
Seterusnya kami yakin sekolah ini akan terus berkembang untuk mengisi kekosongan dalam penyediaan modal insan di negara kita.Pada tahun 2007 SMKA LATI dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada tahun 2013, seramai 66 orang pelajar memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah. Manakala, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SMKA Lati turut melakar kecemerlangan dengan seramai 12 orang pelajar memperoleh 11A, 10 orang pelajar memperoleh 10A, dan 8 orang pelajar memproleh 9A. Kejayaan ini sekaligus telah meletakkan SMKA Lati sebagai sekolah yang terbaik di daerah Pasir Mas dan tempat kelima terbaik di negeri Kelantan. Pada tahun 2014 dalam Penilaian PT3, seramai 23 orang pelajar memperoleh 11A, 20 orang pelajar memperoleh 10A dan 20 orang pelajar memperoleh 9A.